Setelah berbulan-bulan dibebani dengan tugasan, baru hari ni saya berkesempatan menjengah semula ke blog yang tak seberapa ni. Sebenarnya dah lama saya merangka-rangka ayat untuk buat catatan pasal banjir teruk di sekitar Kuantan pada awal Disember 2013 yang lepas tapi hari ni la baru ada masa nak luahkan semua tu.
Takziah kepada semua mangsa banjir dan dimohon untuk banyakkan bersabar serta redha dengan dugaan Allah S.W.T. Saya sekeluarga juga merupakan antara mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke penempatan sementara tapi Alhamdulillah sebab banjir di kawasan rumah kami tak seteruk kawasan lain di Daerah Kuantan ni.
Kiranya ini lah pengalaman pertama kami berdepan dengan banjir sehingga terpaksa berpindah. Kalau kat kampung dulu, memang tiap-tiap tahun banjir tapi belum pernah pindah atau bermalam di penempatan sementara. Pengalaman banjir kali ni memang akan menjadi pengajaran dan pengalaman berharga, baru kami tau betapa susahnya bila berdepan situasi macam ni.
Saya ingin berkongsi sedikit catatan berkenaan banjir yang dah berlaku dengan sesiapa yang sudi singgah ke blog saya ni.
03 Dis 2013 (SELASA) - Masa ni kami sekeluarga ronda dengan kereta tinjau keadaan banjir. Sambil tu tak abis-abis cakap 'nasib baik kawasan rumah kita tak kena' sebab kesian tengok orang-orang yang terlibat dengan banjir tu.
Jalan menghala ke Pekan di depan Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KIPSAS) dah ditenggelami air. Masa ni lebih kurang jam 5 ptg, (time orang balik kerja). Penduduk area Taman Inderapura, Taman Indera Sempurna dan kawasan-kawasan berhampiran dah tak boleh lalu jalan ni, dorang terpaksa tinggalkan kereta / motor dan naik lori untuk redah air, memang sesak teruk masa tu. Nampak tak kat tengah-tengah air banjir tu ada lori tangki Petronas dah tersadai.
Kampung bersebelahan taman perumahan kami dah dinaiki air.
Air atas jalan dah paras betis. Kawasan belakang lagi dalam.
Perumahan di hadapan perumahan kami dah ditenggelami juga. Dorang dah mula alihkan kereta ke kawasan yang lebih tinggi dan get ready untuk pindah. Kami masih lagi sembang-sembang dan bincang-bincang kat depan rumah isu banjir.
Dalam pukul 6 ptg, elektrik dah dipotong. Jiran sebelah bagitau dia dah siap pack barang. Masa tu tali air kat sebelah perumahan kami dah penuh dan air dah mula naik ke jalan. Tengok longkang depan dan belakang rumah dah hampir penuh. Bila tanya En. Abah samada nak pack barang atau tak, dia cakap "jangan risau, tak payah pack sebab rumah kita nanti tak kena banjir". Ni ayat penyedap hati sebab jiran-jiran kat Fasa 1 yang dah hampir 10 tahun tinggal kat sini bagitau masa banjir besar sebelum ni kawasan kami selamat.
Tapi saya tak sedap hati, tetap berkeras dan dalam keadaan rumah takde letrik, guna torch light dan lilin, saya pack apa yang patut. Semua dokumen penting saya masukkan dalam 1 luggage, apa-apa hal senang nak cari. Then saya kemas baju-baju yang nak dibawa in case terpaksa pindah. Semestinya keperluan Zaim diutamakan. Keperluan lain such as selimut, comforter, bantal, toiletries dan lain-lain pun tak dilupakan. Barang-barang lain kat rumah saya kemas la serba sikit. Kain baju kat dalam almari semua saya alih ke rak bahagian atas, barang-barang letrik letak tempat tinggi, gulung karpet2 dan tikar letak atas katil.
Kami kat satu perumahan ni semua mula berjaga-jaga. Malam tu kaum bapa asyik keluar masuk rumah tinjau keadaan air tapi lepas pukul 1 pagi masing-masing tak larat nak tahan mata dah. Saya sekeluarga tidur kat ruang tamu siap buka langsir sliding door kononnya untuk tengok kot-kot air dah sampai depan rumah. Hujan lebat non stop.
04 DISEMBER 2013 (RABU)
Suddenly, hampir pukul 4.30 pagi saya terjaga dan dengar bunyi 'blup..blup..blup...' dari dalam tandas dapur. Kejut En. Abah untuk pergi check. Tengok kat belakang rupanya air dah lagi sikit nak masuk dapur dan depan rumah dah paras pintu pagar. Bila redah dah paras betis. Kejut jiran-jiran untuk alihkan kereta. Nasib baik lepas lagi untuk keluarkan kereta. Saya dah mula cuak dan panik. Tak tau apa yang patut dicapai. Nasib baik la barang-barang yang nak dibawa ke tempat pemindahan saya dah letak kat tepi pintu. En. Abah capai yang tu bawa masuk kereta. Saya pulak kemas barang-barang makanan penuh 1 bakul untuk bekal (yang ni penting).
Hampir jam 7 pagi, Zaim jaga dari tidur terus lari ke pintu dan jerit "air! air!" sambil tunjuk air kat depan rumah. Hari pun dah makin cerah tapi hujan masih turun renyai-renyai. En Abah cadangkan kami gerak ke tempat pemindahan tapi sebelum tu sempat angkat mesin basuh dan peti ais letak atas meja serta tutup fius utama letrik. Masa ni air dah naik sampai ke pintu depan dan lagi 2-3 inci nak masuk ke ruang tamu. Kat belakang air memang dah cecah ke lantai dapur.
Dengan bacaan Bismillah, kami tiga beranak pun meredah air yang masa tu dah paras lutut saya (maklumkan, saya ni rendang sikit..hehehe..) En Abah dukung Zaim, saya pulak galas beg berisi barang keperluan, ada botol air, torch light dan lilin. Zaim pulak excited tengok air, mulut bising je sambil tangan tunjuk sana sini. Rupanya jiran-jiran lain dah keluar dari rumah, kiranya kami la antara yang terakhir tinggalkan rumah. Semua berkumpul kat tepi jalan besar tengah bincang nak ke mana. Akhirnya kami sepakat pindah ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) yang terletak berhampiran rumah.
KKTM Kuantan
Alhamdulillah selepas daftar masuk, kami diberi sebuah bilik untuk setiap keluarga. Bagi yang ramai ahli keluarga diberi bilik dengan 4 buah katil atau 6 buah katil, manakala saya sekeluarga pula diberi bilik dengan 2 buah katil. Kebetulan masa ni students cuti, dapat la kami tinggal kat bilik hostel. Masa mula-mula nak pindah tu terbayang kami semua satu perumahan tinggal kat dalam dewan ramai-ramai. Tapi bila dapat bilik macam ni, kira selesa la. Memang bersyukur sangat-sangat dan berterima kasih kepada Pengarah KKTM Kuantan yang telah bermurah hati membenarkan kami semua menumpang di sini walau pun sini bukanlah tempat pemindahan yang berdaftar. Pada awalnya, makan minum pun atas belas ikhsan pihak kolej. Tapi penduduk yang menumpang berteduh kat sini juga bermurah hati menghulurkan sumbangan untuk menampung pembelian makanan.
Zaim lena tidur atas katil. Comforter dijadikan alas sebab tilam ni tak bercadar. Nasib baik la saya terfikir untuk bawa bantal dan selimut tanpa mengharapkan bantuan pihak berwajib, memang betul-betul berguna walau pun pada mulanya En Abah bersungut sebab bawa banyak sangat barang.
Zaim tidur lena selepas penat berkejaran dan bermain dengan kawan-kawan di lobi hostel. Dia memang seronok betul tinggal kat sini sebab ramai kawan. Anak-anak happy tapi mak ayah tak senang duduk teringatkan rumah yang kena banjir.
Petang 04 Disember 2013 - Selepas makan tengahari, kami ke hujung pagar KKTM untuk tinjau kawasan rumah kami yang ditenggelami air. Tengok air dah masuk rumah hampir paras tingkap. Mujur jugak hujan dah mula renyai. Moga-moga air tak terus naik. Kawasan tepi pagar ni sebenarnya tali air yang dah melimpah. Rumah saya yang dah ditambah bangunan dapur sebelah belakang tu. Perumahan depan yang cat putih tu air lagi tinggi sebab tanah situ lebih rendah (perumahan baharu). Kesian dorang sebab baru je pindah masuk, dah kena banjir.
05 DISEMBER 2013 (KHAMIS)
Hari ni selepas sarapan pagi, saya dan En Abah berpakat nak balik tengok rumah sebab air dah mulai surut. Kami naik kereta tapi masih tak lepas nak masuk jalan terus ke depan rumah, so terpaksa la tinggalkan kereta kat tepi jalan dan redah air untuk balik ke rumah. Masa tu air kat atas jalan depan rumah paras betis je.
Ni gambar yang saya snap kat depan bangunan Giat Mara Paya Besar, berhampiran perumahan kami. Kereta yang ditinggalkan kat tepi jalan dihanyutkan air.
Air kat atas jalan depan perumahan masih belum surut sepenuhnya tapi kat dalam rumah dah tak ada air. Pasu-pasu bunga jiran habis terbalik dan hanyut dek air.
Perumahan baharu berhadapan dengan rumah kami masih lagi ditenggelami air.
Jalan belakang rumah masih banjir. Nampak tak rumah warna peach kat hujung pagar tu? Itu lah rumah pengarah KKTM dan kat situ lah saya snap gambar rumah saya yang ditengelami air sebelum ni.
Kesan banjir kat ruang ampai baju di belakang rumah. Mesin basuh masih terletak kat atas meja, nasib baik la tak tumbang ke bawah. Kesan paras air banjir jelas kelihatan pada meja coklat tu.
Ruang tamu rumah. Kami sempat alihkan sofa ke bahagian belakang sebelum keluar rumah untuk berpindah. Sofa tu basah kat bahagian bawah, terpaksa keringkan.
Bahagian dapur. Gambar tak clear sebab gelap, masih takde letrik. Boleh nampak kesan air kat lantai. Nasib baik saya punya kitchen cabinet (KC) tu tak rosak. Sebelum ni memang risau la takut pintu KC tu rosak siap berkira-kira budget untuk tukar pintu baru, hehehe....
Disebabkan air dalam rumah dah surut, jadi saya dan En Abah buat keputusan nak terus cuci rumah dan buat apa yang patut. Penat dan susah juga mencuci rumah tiga beranak dengan si kecil tu, terpaksa la saya dan En Abah bergilir-gilir cuci rumah dan jaga dia. Tambahan pula, sekarang ni dia tengah lasak memang kena kawal la. Lantai lak licin, dalam duk kawal tu sempat juga 2-3 kali tergolek dan terlentang kat lantai. Nak buat macam mana, susah atau senang terpaksa la hadap juga, bukan ada sesiapa yang boleh diharap atau minta tolong, masing-masing sibuk kat rumah sendiri.
Tapi nasib baik juga banjir kat kawasan rumah kami tak berlumpur, jadi tak perlu la nak sental dinding dan lantai. Lagi satu, lantai rumah ber'tiles'dari depan sampai ke belakang, memang memudahkan kerja mencuci.
Anjung depan rumah penuh dengan barangan dan perabot yang dah siap dicuci, sandar kat dinding untuk keringkan.
Selesai bersihkan rumah, perut pun lapar, kami balik semula ke KKTM untuk isi perut dan berehat. Badan memang dah penat giler, lenguh abis satu badan. Tapi sayang, lupa nak snap gambar-gambar masa kat KKTM. Balik ke KKTM tengok bantuan dah banyak sampai tapi bukan dari aagensi kerajaan, bantuan kat sini disumbang oleh NGO's atas usaha pihak KKTM yang mencari bantuan.
Menu makan malam kami pun sedikit istimewa dari hari sebelumnya yang mana kami cuma disajikan dengan nasi putih dan sardin serta telur hancur, tapi malam ni kami dapat makan nasi berlaukkan ayam. Selepas makan malam, pihak Mercy Malaysia menghulurkan bantuan mereka dan wakil dari Mercy serta Pengarah Mara Pahang memberi sedikit ucapan dalam majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir. Mercy juga telah membuka kaunter klinik percuma kepada sesiapa yang memerlukan rawatan serta ubatan.
Bantuan daripada pihak Mercy Malaysia. Dalam beg biru tu ada barangan penjagaan diri,
2 helai towel mandi, kain batik, 3 pasang selipar, pakaian dalam untuk ibu, bapa dan anak (yang ni macam kelakar je, masa lepas majlis pun kitorang duk gelak-gelak bila tengok barang yang ni). Dapat juga sebiji baldi besar (kat belakang roti tu) dan 2 bungkus roti Gardenia saiz jumbo. Apa-apa pun terima kasih kepada Mercy Malaysia kerana menjadi antara pihak terawal menghulurkan bantuan di sini.
06 DISEMBER 2013 (JUMAAT)
Selepas sarapan pagi, kami terus balik ke rumah untuk sambung kerja membersihkan rumah.
Hari dah mulai cerah dan hujan pun dah berhenti. Air kat depan rumah mulai surut, dah boleh nampak jalan.
En Abah tolong bersihkan karpet. Pasu bunga saya selamat dan masih terletak di tempat yang sama. Agaknya pasu tu berat sebab tu tak terbalik atau hanyut dek air.
Karpet dan alas kaki yang terlupa nak diselamatkan terpaksa dicuci dan gantung pada pagar rumah.
Perabot yang dah makin kering kami bawa masuk ke dalam rumah dan letak tinggi sebab terima amaran untuk gelombang kedua. Kami masih berulang balik ke KKTM untuk makan dan tidur memandangkan bekalan elektrik masih dipotong.
Selesai semua kerja, kami bercadang untuk lawat keluarga Mama Emi (babysitter Zaim) kat Perumahan Sungai Isap 1. Kawasan situ paling teruk terjejas dan hari ni selepas 5 hari banjir, air mulai surut. Mereka mula pindah ke penempatan banjir pada malam 03 Dis 2013 tetapi kawasan Perumahan Sungai Isap Damai dah mula pindah pada 02 Dis 2013.
Kereta orang awam yang diparkir di tepi jalan dihanyutkan arus di depan pencawang TNB Sungai Isap.
Banjir mulai surut dan jalan dah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Zaim tersenyum seronok naik kereta sambil tengok banjir untuk ke rumah Mama Emi.
Saya tak sempat snap gambar keadaan rumah Emi dan kawasan di sekitar Perumahan Sungai Isap sebab terkejut tengok kesan banjir. Banyak harta benda penduduk yang rosak. Rata-rata di hadapan setiap rumah terdapat longgokan perabot, tilam dan barangan rumah yang telah rosak. Memang keadaan sangat dahsyat.
Saya dan En Abah mengucapkan syukur kerana nasib kami tak seteruk mangsa-mangsa banjir yang lain. Harta benda kami masih selamat dengan hanya kerosakan yang kecil. Makan minum dan tempat penginapan sementara kami di KKTM juga terjaga dan selesa jika dibandingkan dengan mereka yang menumpang tinggal di penempatan lain. Macam-macam cerita dan luahan yang kami dengar. Ada yang tak cukup makanan hingga terpaksa di catu, ada yang terpaksa kutip bekas makanan dalam tong sampah untuk dibersihkan dan diguna semula, ada yang terpaksa tidur di atas lantai simen tanpa alas dan ada juga yang terpaksa tidur di dalam kereta bermalam-malam. Tapi itu semua hanya pada peringkat awal banjir, selepas 2-3 hari, banyak bantuan sampai dan nasib mangsa-mangsa banjir pun sedikit terbela.
Walau apa pun, kami terima semua ini sebagai satu ujian daripada Allah S.W.T. dan ribuan terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan samada dari segi tenaga, masa atau wang ringgit. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.
Ribuan terima kasih juga saya dan En Abah ucapkan kepada pihak MARA Pahang terutamanya Pengarah Mara Negeri dan Pengarah KKTM Kuantan atas belas ikhsan dan budi baik mereka membenarkan kami menumpang berteduh serta menyediakan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir walau pun kami dimaklumkan bahawa pihak MARA tidak menerima bantuan khusus untuk banjir serta tidak didaftarkan sebagai pusat pemindahan. Saya sekeluarga sempat juga bermalam di bilik hostel KKTM Kuantan selama 4 malam bermula dari 04 Dis 2013 sehingga 08 Dis 2013 dan ia merupakan satu pengalaman yang takkan kami lupakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan